PERLUMBAAN Motosikal Grand Prix  (MotoGP) kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas dua tahun tidak diadakan ekoran penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Dengan tema ‘Welcome Home’ MotoGP Malaysia bermula 21 hingga 23 Oktober 2022 dengan menyaksikan syarikat petroleum gergasi negara, Petronas yang kembali ke SIC sebagai penaja utama selepas perlumbaan Formula Satu (F1) berakhir pada 2017.

 

MotoGP adalah satu acara sukan yang sangat popular di Malaysia dengan jumlah kehadiran 170,000 penonton dicatatkan pada perlumbaan tahun 2019 meningkat tahun demi tahun sejak diadakan di SIC pada 1999 yang menyaksikan kehadiran 65,000 penonton ke litar.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif dan Pengurus Besar Kanan Petronas Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

Ahmad Faizal Azumu

Turut diumumkan pada majlis itu adalah pelumba negara yang meningkat naik, Sharifuddin Azman atau Damok yang bakal membawa cabaran negara dalam perlumbaan Moto3 atas tiket ‘wildcard’.

Perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia ini bakal menyaksikan tiga perlumbaan, Moto3, Moto2 dan MotoGP dengan pelumba-pelumba terbaik dunia bersaing untuk merebut kejuaraan dunia.