Team MT Helmets – MSi’s Hakim Danish poses on the podium after winning the Moto3 event and prior to the MotoGP Grand Prix of Czechia in Brno, Czech Republic, on June 21, 2026. (Photo by Michal Cizek / AFP)

PELUMBA muda sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli melakar sejarah manis dalam kariernya apabila meraih kemenangan sulung dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas menjuarai Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, semalam.

Kejayaan itu menjadi detik paling bermakna buat pelumba berusia 18 tahun tersebut selepas mengharungi hujung minggu penuh cabaran sebelum akhirnya menamatkan perlumbaan di podium tertinggi.

Hakim Danish mengakui kemenangan itu sukar digambarkan dengan kata-kata dan menyifatkannya sebagai hasil kerja keras pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat di Malaysia.

“Hujung minggu ini bukan mudah kerana kami berdepan dengan pelbagai cabaran, namun saya tidak pernah berhenti percaya kepada kemampuan diri sendiri dan kerja keras yang dilakukan bersama pasukan.

“Saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di pentas Kejuaraan Dunia Moto3. Saya sangat gembira dan bangga dapat menghadiahkan keputusan ini kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya.

Hakim Danish pada awalnya mempamerkan prestasi meyakinkan apabila mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan.

Namun, penalti yang dikenakan selepas sesi kelayakan kedua menyaksikannya terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14, sekali gus menjadikan laluannya ke podium lebih sukar.

Meskipun berdepan cabaran besar, pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan tunggangan penuh kematangan dan agresif apabila berjaya memintas pencabar satu demi satu sepanjang perlumbaan.

Aksi cemerlang tersebut membolehkan Hakim Danish melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.

Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Marco Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team melengkapkan podium.

Kemenangan itu hadir selepas Hakim Danish sebelum ini meraih podium sulung musim ini menerusi kedudukan ketiga pada GP Itali di Mugello bulan lalu.

Lebih membanggakan, kejayaan di Brno turut menamatkan penantian panjang Malaysia untuk menyaksikan wakil negara muncul juara dalam saingan Moto3.

Kali terakhir Malaysia meraikan kemenangan dalam kelas tersebut adalah menerusi Khairul Idham Pawi yang mencipta kejayaan berganda di GP Argentina dan GP Jerman pada musim 2016.

Pencapaian terbaharu Hakim Danish sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek paling cerah sukan permotoran negara untuk masa depan.