PINGAT emas pertama yang dipertaruhkan pada Sukan Malaysia (Sukma) XX MSN 2022 menjadi milik kontinjen Johor apabila Siti Nur Adibah Akma mengungguli acara berbasikal 30KM ujian masa individu wanita yang berlangsung di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Adibah mencatat kayuhan pantas dengan 44:25.80 sekaligus menduduki tempat pertama. Pemenang pingat perak Sukan SEA Hanoi itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menghadiahkan pingat emas yang pertama buat kontinjen Johor.

Mengulas kejayaannya, Adibah berkata, dia dikelilingi oleh orang-orang yang positif sekaligus ia menjadi faktor utama saya turun tanpa tekanan dan bersemangat untuk buat yang terbaik pada hari ini.

“Saya hadiahkan pingat emas ini buat ahli keluarga, diri saya sendiri dan juga sudah pasti untuk negeri Johor,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Johor Nur Aiman Rosli menepati ramalan selepas berjaya menggenggam pingat emas kedua peribadinya pada temasya Sukma.

Beraksi di dalam acara kegemarannya, beliau berjaya mencatatkan 53 minit 08.865 saat untuk memastikan pingat emas kedua buat kontinjen Johor.

“Memang saya menyasarkan untuk menang pingat emas acara ini. Dan ini adalah untuk negeri Johor serta individu-individu yang sentiasa menyokong saya.

Untuk rekod, ini adalah penampilan terakhir buat Aiman yang juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi Mei lalu selepas empat kali beraksi di dalam temasya Sukma sejak edisi 2014 di Perlis.