SELEPAS diikat pasukan tuan rumah, Mongolia 1-1 pada perlawanan pembukaan Kelayakan Piala Asia AFC B-20 Tahun di Ulaan Bataar, skuad kebangsaan kini perlu menang dengan jaringan yang besar apabila menentang Sri Lanka pada Jumaat.
Ketua Jurulatih, Hassan Sazali Waras sedikit kecewa dengan keputusan seri semalam kerana barisan pemainnya menguasai permainan namun tidak berjaya menjaringkan gol tambahan.
Dia juga menjangkakan Sri Lanka berkemungkinan beraksi dengan taktikal bertahan selepas dibelasah 6-0 oleh Korea Selatan dan mahu pemainnya lebih tajam di hadapan gawang mendapatkan jumlah jaringan yang besar.

Hassan juga masih yakin Malaysia akan berjaya layak ke Uzbekistan dengan mencari mata maksimum dari baki dua perlawanan bermula dengan perlawanan esok.
“Memang kita menguasai permainan tetapi barisan hadapan tidak mengambil peluang yg diperolehi dan mereka perlu lebih tajam apabila berhadapan Sri Lanka.
“Mereka tewas 0-6 dengan Korea Selatan dan berkemungkinan mereka akan bermain secara lebih bertahan dan penyerang kita perlu bijak mengambil peluang menjaringkan gol.
“Peluang untuk layak masih ada dan kita perlu mencari mata maksimum pada baki dua perlawanan ini. Paling tidak, kita perlu mencari jumlah jaringan gol yang banyak apabila bertemu Sri Langka esok,” katanya kepada FLASH SUKAN.
10 juara kumpulan dan lima pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke Uzbekistan 2023 dengan tiga mata esok sangat penting buat Malaysia sebelum berhadapan Korea Selatan pada Ahad jika tidak mahu bergantung kepada pasukan lain untuk layak secara merit.