Kredit Gambar: MESF

Skuad Honor of Kings Malaysia menamatkan kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan pingat perak selepas tewas 0-4 kepada China dalam aksi final di Aichi Sky Expo, sebentar tadi.

Malaysia yang dibarisi Chen Tat Yann, Lim Chee Hong, Chong Han Hui, Ryan Na Jie Rong dan Lee Han Siang berdepan cabaran besar apabila China tampil dengan permainan tersusun serta kawalan tempo yang sukar dipatahkan.

China yang menampilkan Huang Yaoqin, Wang Ke, Xu Bicheng, Meng Jiajun dan He Weijia mula menguasai permainan sejak awal sebelum memastikan kemenangan 4-0 untuk membawa pulang pingat emas.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad negara gagal mengulangi prestasi cemerlang di peringkat sebelumnya apabila China terus mengekalkan dominasi sehingga tamat aksi final.

Bagaimanapun, pencapaian pingat perak tetap menjadi hasil positif buat Malaysia selepas skuad negara berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum berlepas ke Aichi-Nagoya.

Pingat tersebut turut menambah koleksi Malaysia dalam cabang e-sukan pada temasya kali ini, selepas Taj Izrin Aiman Taj Madira terlebih dahulu meraih emas menerusi acara Gran Turismo 7.

Skuad eFootball negara kemudian menyumbang satu lagi pingat perak, menjadikan Honor of Kings sebagai penyumbang pingat ketiga Malaysia dalam e-sukan.

Walaupun terpaksa akur kepada China di pentas terakhir, penampilan Malaysia di final membuktikan skuad negara mampu bersaing sehingga ke peringkat tertinggi dalam saingan Honor of Kings di pentas Asia.

China pula melengkapkan kempen mereka dengan emas selepas mempamerkan aksi dominan untuk menutup final dengan keputusan 4-0.