Kredit Gambar: AHF
Kemenangan besar 5-0 ke atas China memberi suntikan keyakinan kepada Speedy Tigers, namun ketua jurulatih Brendon Carolan mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu dibuai momentum menjelang aksi separuh akhir hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Khamis ini.
Menurut Carolan, pengurusan emosi serta tahap kecergasan menjadi antara aspek penting yang perlu diberi perhatian kerana perlawanan kalah mati tidak memberi ruang untuk kesilapan mudah.
“Perlawanan kalah mati memerlukan pemain kekal tenang dan tidak terbawa-bawa dengan emosi kerana satu kesilapan kecil boleh memberi kesan besar terhadap peluang kami untuk mara ke final,” katanya.
Kemenangan ke atas China turut dianggap penting dari sudut psikologi selepas skuad negara melalui beberapa pertemuan dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan ini yang menyaksikan mereka berdepan keputusan kurang memihak ketika menentang pasukan itu.
“Saya gembira untuk para pemain. Dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan ini, ada beberapa perlawanan penting yang mengecewakan kami apabila China memperoleh beberapa keputusan besar menentang kami,” katanya.
Menurut Carolan, kejayaan menewaskan China dengan persembahan meyakinkan mampu memberikan keyakinan tambahan kepada pemain selepas mereka sebelum ini berdepan beberapa keputusan mengecewakan dalam pertemuan penting.
“Jadi, sangat baik dari segi mental untuk kami turun ke padang, mempamerkan aksi yang mantap dan menamatkannya dengan kemenangan,” katanya.
Malaysia menamatkan saingan Pool B sebagai juara selepas membelasah China 5-0 menerusi jaringan Fitri Saari, Akhimullah Anuar Esook, Ashran Hamsani, Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal.
Namun, Carolan mahu pemain segera menutup buku kemenangan tersebut dan tidak terlalu lama meraikannya kerana fokus kini beralih kepada pemulihan fizikal sebelum aksi separuh akhir.
Katanya, tempoh pemulihan yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan semua pemain kembali berada pada tahap kecergasan dan mental terbaik apabila turun memburu tiket ke final.