Tan Cheng Hoe mengakui Indonesia memiliki skuad berkualiti tinggi, namun ketua jurulatih Harimau Malaya itu mahu anak buahnya berani menyerang ketika berdepan tuan rumah dalam aksi kedua FIFA ASEAN Cup di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.
Menurut Tan, kesemua 23 pemain berada dalam keadaan terbaik dan bersemangat untuk turun beraksi, dengan persiapan pasukan berjalan lancar menjelang pertembungan penting tersebut.
“Kita tahu pasukan Indonesia mempunyai pemain-pemain terbaik, termasuk dari Eropah. Kekuatan mereka bukan sahaja di bahagian serangan tetapi pertahanan juga begitu baik dan kuat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak mahu terlalu memikirkan kekuatan lawan dan sebaliknya perlu memberikan tumpuan kepada kemampuan sendiri, termasuk menentukan pendekatan taktikal yang akan digunakan.
“Kita akan berbincang dalam kalangan barisan kejurulatihan sama ada bermain seperti biasa seperti ketika menentang Bangladesh atau melakukan perubahan kepada pendekatan lebih bertahan atau menyerang,” katanya.
Cheng Hoe turut menegaskan Malaysia tidak boleh hanya bertahan sepanjang 90 minit kerana pasukannya perlu mempunyai keberanian untuk menyerang bagi mencipta peluang mendapatkan keputusan positif.
“Kalau kita bertahan 90 minit, tidak cukup untuk kita kekal dengan kekuatan serangan Indonesia. Kita perlu menyerang juga untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Mengulas aksi Indonesia menentang Singapura sebelum ini, Cheng Hoe melihat skuad Garuda mempunyai penguasaan bola serta keserasian yang baik, justeru Harimau Malaya perlu kekal fokus dari awal hingga tamat permainan.
“Setiap serangan daripada Indonesia cukup besar dan kita perlu dari segi mental dan fizikal kekal fokus dari minit pertama sampai minit ke-90,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pemain supaya tidak terpengaruh dengan provokasi penyokong tuan rumah, sebaliknya melihat suasana di GBK yang dijangka dipenuhi lebih 100,000 penyokong sebagai motivasi tambahan untuk pasukan.
“Kita tidak boleh terlalu fokus kepada penyokong Indonesia kerana provokasi kadang-kadang boleh membuatkan kita hilang fokus. Saya fikir suasana itu memberi kita lebih semangat dan motivasi kerana lebih baik bermain dalam kelompok 100,000 penyokong berbanding 1,000 orang,” katanya.
Pengendali itu turut mengimbas kejayaannya menewaskan Indonesia pada 2019 dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, namun mengakui pertemuan kali ini berbeza dengan keadaan serta barisan pemain yang tidak sama. Beliau turut mengakui Indonesia hadir sebagai antara pasukan pilihan, tetapi Malaysia bersedia mencabar dan memberikan saingan terbaik.