JURULATIH interim Selangor FC, Christophe Gamel tidak gentar dengan rekod kebal dimiliki Lion City Sailors (LCS) apabila The Red Giants turun menentang wakil Singapura itu dalam aksi kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) petang ini di Stadium Bishan.

LCS dibimbing Aleksandar Rankovic terkenal sebagai pasukan yang sukar digugat di laman sendiri selepas musim lalu menewaskan kelab besar seperti Zhejiang FC, Sanfrecce Hiroshima dan Sydney FC dalam saingan ACL2. Rekod itu nyata memberi mereka kelebihan, namun Gamel tetap percaya anak buahnya mampu mencipta kejutan.

“Kita tahu The Sailors amat kuat di gelanggang sendiri tetapi kita mahu bermain permainan bola yang bagus. Jika kita lakukannya, kita boleh mendapat keputusan positif. Pasukan akan berjuang untuk memastikan kita meraih mata penuh,” katanya pada sidang media praperlawanan.

Keyakinan itu hadir selepas Selangor berjaya mengekalkan momentum apabila muncul juara Piala Sultan Selangor 2025 dengan menundukkan Pilihan Singapura 2-1 Sabtu lalu.

Aksi kali ini juga cukup istimewa buat penyokong kerana menemukan kembali Selangor dengan bekas kapten mereka, Safuwan Baharudin yang kini beraksi bersama LCS secara pinjaman.

Dengan reputasi LCS yang ampuh di gelanggang sendiri, pertemuan ini dijangka sengit, namun Gamel menegaskan Selangor tidak akan sekadar bertahan sebaliknya mahu membawa pulang kemenangan dari bumi Singapura..