SIARAN langsung lima aksi Liga Super 2022 yang berlangsung hujung minggu lalu mencatat hampir tiga juta tontonan menerusi platform YouTube unifi.

Seperti biasa perlawanan melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat jumlah tontonan tertinggi dengan 1 juta tontonan dicatatkan ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlawanan yang menentukan kejuaraan kepada JDT antara Terengganu dan Sabah pula mencatatkan angka 853,000 tontonan diikuti aksi di Stadium Darul Aman antara Kedah dan PJ City yang menerima 446,000 tontonan.

Jumlah tontonan di platform YouTube unifi

Kembalinya Tan Cheng Hoe ke dunia kejurulatihan bersama Selangor FC mendapat jumlah tontonan sebanyak 414,000 manakala aksi Sarawak United dan Sri Pahang FC mencatatkan angka terendah dengan hanya 223,000 tontonan.

Dengan purata 587,000 tontonan, ianya masih angka yang baik buat kesemua siaran langsung dan angka ini tidak termasuk angka siaran langsung di saluran TV9 dan unifi TV.

Sementara itu, dua aksi yang diawalkan melibatkan pasukan Kuala Lumpur City FC mencatat jumlah tontonan yang baik dengan 339,000 tontonan ketika menentang Penang FC dan 348,000 tontonan pada aksi menentang Sarawak United.

Tidak hanya mendapat sambutan menerusi siaran langsung di internet, kelima-lima perlawanan ini juga menerima kunjungan penyokong yang baik di setiap venue kecuali di Stadium Negeri, Kuching.

Aksi longlai skuad Kenyalang tidak mampu untuk membawa penyokong ke stadium apabila hanya 403 penyokong sahaja yang hadir sekaligus menjejaskan angka purata kehadiran penyokong kepada hanya 8,812 orang sahaja.

Stadium Sultan Ibrahim mencatatkan kehadiran tertinggi dengan 25,886 penyokong diikuti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan 11,530 penyokong manakala Stadium Darul Aman dihadiri hampir 4,000 penyokong dengan Stadium MBPJ pula sekadar menyaksikan 2,245 penyokong Selangor dan Melaka United yang hadir.

Dengan jumlah tontonan siaran langsung hampir tiga juta dan lebih 44,000 yang hadir ke stadium, ianya membuktikan liga bola sepak tempatan masih mendapat perhatian meskipun berlangsung serentak dengan perlawanan Liga Perdana Inggeris.