GAGAL fokus dalam perlawanan dan terlalu banyak memberikan ruang buat lawan menjadi punca utama kekalahan 3-0 PDRM FC keatas juara bertahan, Kuala Lumpur City FC dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pengendali The Cops Razak Jamadi juga turut mengakui bahawa gol pada lewat babak pertama sedikit menggangu konsentrasi pemain ditambah pemain import yang baginya masih tidak mencapai tahap yang dia inginkan.

“Untuk separuh masa pertama kami dapat mengimabangi Kuala Lumpur City tetapi kekurangan fokus pada minit akhir menghukum kami. Pada separuh masa kedua kami juga dapat menunjukkan permainan yang baik tetapi terlalu memberi ruang kepada lawan dan terlalu menghormati pemain KL City sebagai satu pasukan Asia.

Razak Jamadi, Pengendali PDRM FC

“Gol minit akhir itu tetap memberikan gangguan tetapi saya terus memotivasikan para pemain untuk lebih fokus pada babak kedua namun segala peluang gagal diterjemahkan oleh penyerang.

“Saya mengharapkan sesuatu daripada pemain import tetapi apabila mereka gagal menyudahkan peluang ianya sedikit sebanyak melemahkan semangat pemain tempatan.

“Pada hemat saya pemain import kami masih belum mencapai tahap yang saya inginkan tetapi kami menerima kekalahan ini sebagai satu pasukan dan bukannya individu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Razak turut mengakui kelemahan utama mereka adalah di bahagian kiri dan kanan pertahanan serta barisan tengah dan mereka akan memperbaiki kelemahan ini menjelang perlawanan timbal balik pada 1 November 2022.