GANDINGAN beregu wanita harapan negara, Pearly Tan-M.Thinaah meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Terbuka Perancis, selepas berjaya mengatasi pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi.
Perlawanan yang sememangnya dijangka sengit berikutan rekod pertemuan, gandingan negara menang dua kali daripada tiga pertemuan.
Bermula dengan saling mengejar mata, Pearly-Thinaah mempamerkan aksi bertenaga memenangi pelawanan 21-16, 21-14.
Kemenangan itu membolehkan mereka mara ke suku akhir, sekali gus memperbaiki pencapaian di Terbuka Denmark minggu lalu, apabila kandas di pusingan kedua.
Di suku akhir pada Jumaat, Pearly-Thinaah akan berdepan tugas berat menghadapi pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Berdasarkan rekod pertemuan, gandingan negara tewas semua enam pertemuan lalu.
Sementara itu, mengiringi Pearly-Thinaah, gandingan beregu lelaki professional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Gandingan di ranking kesembilan dunia itu mengharungi perlawanan sengit sebelum menundukkan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-18, 17-21, 22-20.
Pada aksi suku akhir esok, mereka akan berdepan pemain Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho yang menduduki ranking ke-18 dunia.
Bagaimanapun, pemain negara perlu lebih bijak menggunakan setiap peluang terhidang pada perlawanan esok, kerana berdasarkan satu-satunya pertemuan antara kedua-dua gandingan ini di Terbuka Jepun September lalu, gandingan Korea Selatan itu memenangi perlawanan.