STADIUM Laos New National menjadi bukti keampuhan pasukan Vietnam apabila mempamerkan aksi menakjubkan menewaskan Laos 6-0.

Seawal minit ke-12, Billy Ketkeophomphone telah dilayangkan kad kuning kerana mengasari jentera serangan Vietnam.

Aksi bertenaga terus dipamerkan anak buah Park Hang Seo apabila hanya memerlukan 15 minit aksi di babak pertama untuk menyumbat masuk gol pembukaan menerusi Nguyen Tien Linh.

Asakan bertali arus itu berjaya menghasilkan gol kedua menerusi kapten  skuad Naga Emas, Do Hung Dung yang bijak menewaskan penjaga gol lawan, K. Souvannasangso.

Seakan menerima tonik tambahan pada babak kedua, pasukan tuan rumah terus dibelenggu mimpi ngeri apabila penguasaan mutlak hampir menjadi milik negara yang memiliki ranking tertinggi Asia Tenggara itu.

T.T. Ho menambah derita Laos dengan jaringan ketiga pelawat menjadikan Vietnam semakin kukuh memimpin perlawanan pada minit ke-55.

Amukan Pahlawan Bintang Emas tidak terhenti di situ apabila Doan Van Hau terus menghukum skuad kendalian Hans Michael WeiB dengan jaringan keempat pelawat pada minit ke-58.

V. Nguyen dan V.Vu masing-masing melengkapkan malam gemilang Vietnam dengan jaringan kelima dan keenam pasukan sekaligus meletakkan skuad dibimbing DNA Korea Selatan , Park Hang Seo mengungguli kumpulan B di tempat pertama mengatasi Malaysia dibezakan dengan jaringan gol.

Kemenangan tersebut melebarkan rekod  kemenangan Vietnam ke atas Laos dengan memenangi sebelas perlawanan dan hanya satu seri sepanjang sejarah pertemuan mereka.