KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) II, Hairuddin Omar sudah menghidu taktikal skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang akan menurunkan beberapa pemain utama daripada skuad Liga Super mereka dalam pertarungan akhir Piala MFL, esok.

Namun begitu, pengendali kelahiran Terengganu tersebut tidak terlalu menghiraukan keupayaan pihak lawan kerana yakin bahawa skuadnya telah membuat persiapan rapi dari awal bagi menghadapi kelab JDT II.

Hairuddin turut menegaskan bahawa rekod cemerlang skuadnya setelah berjaya membedil JDT II sebelum ini bukan ukuran sebenar untuk menilai kekuatan anak buahnya.

“Esok merupakan perlawanan yang berbeza dan suasana yang berbeza jadi segalanya akan di nilai semula dalam aksi final, inilah masanya untuk pemain bekerja keras dan merealisasikan kejuaraan sulung.

“Kita akan cuba bagi saingan sehabis mungkin terhadap pasukan JDT II pada perlawanan esok walaupun mereka mempunyai pemain-pemain yang berbakat besar.

“Cuma pihak saya ada sedikit kerisauan terhadap tahap kecergasan pemain seperti Ubaidullah yang baru sahaja pulang daripada perlawanan Piala AFC,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Berdasarkan rekod dalam saingan liga musim ini, skuad The Turtles kendalian bekas penyerang kebangsaan itu merekod 16 kemenangan, seri tiga kali dan tewas dua kali kepada JDT II 2-1 dan Kedah Darul Aman FC 1-0.

Sementara itu, kapten pasukan, Aqil Irfanuddin yakin dengan semangat yang tinggi dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pasukannya mampu menjadikan malam esok sebagai satu lakaran sejarah bagi skuad Terengganu FC II.

“Saya dan pasukan sudah bersedia 100 peratus  dan kami hanya fokus dengan pasukan kami sahaja jadi tidak perlu gentar dengan skuad JDT II.

“Untuk esok, kami akan cuba mengurangkan kesilapan dan fokus sehingga tamat 90 minit perlawanan,” katanya.