KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) berharap agar Kementerian Belia dan Sukan dapat memberikan lebih perhatian dan peruntukan buat sukan hoki selepas skuad hoki kebangsaan mencatatkan aksi cemerlang sepanjang tahun 2022.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata peruntukan ini diperlukan supaya sukan hoki boleh mendapat fasiliti terbaik dari segi peralatan dan sains sukan selain boleh mengadakan lebih banyak pertandingan antarabangsa sekaligus menaikkan mutu pasukan hoki kebangsaan.
Subahan turut yakin sukan hoki bakal memberikan empat pingat emas kepada kontinjen negara menerusi hoki padang dan hoki dalam dewan pada Sukan Sea Kemboja tahun hadapan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal
“Kami di KHM sangat menghargai sekiranya KBS boleh memberikan lebih perhatian dan peruntukan buat sukan hoki supaya para pemain dapat diberikan fasiliti yang terbaik selain dapat menganjurkan banyak kejohanan antarabangsa yang boleh meningkatkan mutu sukan ini.
“Skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya muncul naib juara Piala Asia dan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah manakala pasukan hoki dalam dewan lelaki muncul juara Kejohanan Asia manakala skuad wanita mendapat tempat ketiga dan ini adalah kemenangan besar buat KHM.
“Kami juga sudah memberikan jaminan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa sukan hoki akan memberikan empat pingat emas kepada kontinjen negara pada Sukan Sea Kemboja 2023 dengan dua dari hoki padang dan dua dari hoki dalam dewan.
Subahan berkata demikian ketika ditemui FLASH SUKAN di Majlis Menghargai Skuad Piala Sultan Azlan Shah dan Skuad Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Pengendali negara, A. Arul Selvaraj menerima sumbangan daripada Datuk Seri Subahan Kamal
Dalam majlis itu, KHM melunaskan janji kepada para pemain yang beraksi cemerlang dengan menyerahkan sumbangan bernilai RM300,000 sesuai dengan kemampuan yang ada pada KHM.
“Sumbangan ini adalah berdasarkan berdasarkan kemampuan KHM dan kami tunaikan janji kepada pemain dengan memberikan saguhati dan kini pemain perlu memberikan aksi terbaik pada Piala Dunia supaya KHM boleh menarik lebih banyak penaja,” tambah Subahan.
Dalam perkembangan yang sama, Subahan turut mengumumkan skuad hoki kebangsaan bakal berlepas ke India pada 6 Januari 2023 dan akan mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Sepanyol di sana sebagai persediaan menjelang Piala Dunia.