HASRAT skuad bawah 23 tahun negara (B-23) untuk mengutip tiga mata penuh sekali gus misi balas dendam gagal di Piala AFF dicapai dalam perlawanan kedua acara bola sepak lelaki temasya Sukan SEA 2021.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, B-23 Malaysia mengalahkan Laos 3-1 pada aksi Kumpulan B yang penuh rancak.

Perlawanan berlangsung seimbang di babak pertama dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik wisel ditiupkan pengadil.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-9 menerusi sepakan sudut oleh Mukhairi Ajmal Mahadi dan dapat disambut Luqman Hakim Shamsudin namun tandukannya sedikit tersasar.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai apabila Luqman menebus kehampaan membuka gol pertama yang tenang membuat rembatan menewaskan Keo Oudone m-35.

Anak buah Brad Maloney terus menambah jaringan hasil rembatan luar kotak penalti Shahir Bashah m-42 terus menerjah jaring Laos buat kali kedua.

Kehadiran penyokong juga membanggakan apabila kapasiti stadium hampir dipenuhi peminat tempatan yang hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan neutral bertanding sejak petang.

Bersambung babak kedua, Malaysia menyusun strategi dan nyaris membuahkan gol ketiga tetapi bola lencongan dari jarak jauh Mukhairi Ajmal sedikit tersasar m-50.

Luqman terus menjadi sebutan dengan menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan ini m-67. Laos memperoleh gol saguhati hati m-85 apabila penyerang gantian, Visith berjaya melepaskan rembatan cantik untuk menewaskan Azri Ab Ghani

Skuad B-23 negara kini mengutip enam mata dan akan bertemu Singapura, pada Sabtu sebelum melengkapkan saingan kumpulan melawan Kemboja, 16 Mei ini.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.