KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memberi bayangan jelas bahawa kem latihan pusat fasa ketiga menjelang aksi penting menentang Vietnam bakal menyaksikan kehadiran pemain warisan dari luar negara yang telah melengkapkan dokumentasi untuk menyarung jersi kebangsaan.
Dalam sidang media khas pengumuman senarai 38 pemain ke kem latihan pusat bagi bulan Mei dan Jun 2025 di Wisma FAM, Cklamovski tidak menafikan kemungkinan besar kemunculan wajah-wajah baharu yang berpangkalan di luar negara.
“Ada kemungkinan besar perkara itu akan berlaku. Di Malaysia dan luar negara, kita tahu ada beberapa nama yang sedang bersedia.
“Kami belum bersedia umumkan secara rasmi hari ini, tetapi saya boleh jamin, ada pemain dengan dokumen lengkap yang bersedia untuk sertai pasukan,” ujar Cklamovski dengan penuh optimis.
Menurutnya, kehadiran pemain warisan bukan sekadar menambah kedalaman skuad, malah turut mencabar pemain sedia ada untuk terus bekerja keras demi tempat dalam kesebelasan utama.
Cklamovski menyifatkan persaingan sihat ini penting untuk mengekalkan tahap kompetitif dalam kem Harimau Malaya.
“Yang penting, mereka ini rakyat Malaysia. Mereka akan datang dan buktikan kesungguhan untuk berjuang demi negara ini. Mereka akan titiskan darah, peluh dan air mata untuk panji Malaysia,” tambahnya lagi.