PELUMBA Red Bull Racing, Max Verstappen dijangka akan mempamerkan aksi lebih baik pada musim 2023 ini walaupun sudah bergelar juara dunia dua kali, menurut Ketua Jurutera Pasukan, Paul Monaghan.
Verstappen yang melakukan debut F1 nya dengan pasukan Toro Rosso pada 2015 dan dinaikkan pangkat ke pasukan Red Bull pada 2016 dan memenangi perlumbaan pertamanya di Grand Prix Sepanyol.
Selepas itu dia mempamerkan pemanduan yang hebat dengan sering menaiki podium dan beberapa lagi kemenangan sebelum berjaya muncul juara dunia pada 2021 menghentikan rentetan kejuaraan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton.
A year we'll remember forever 💙 Thank you, 2022 🏁 pic.twitter.com/UnHrHKScoD
— Oracle Red Bull Racing (@redbullracing) December 31, 2022
Dia menambah koleksi kejuaraan dunia kedua kedua berturut-turut pada musim 2022 secara dominan dengan memenangi 15 dari 22 perlawanan meskipun mengalami masalah ketahanan jentera pada awal musim.
Monaghan berkata kejayaan Verstappen bukan hanya bergantung kepada skil pemanduannya tetapi juga dengan apa yang dilakukannya di luar kokpit sebagai salah satu faktor kejayaan.
“Max adalah seorang yang berbakat dari segi teknikal. Dia banyak melakukan kerja dari usia muda dibantu oleh ayahnya Jos yang juga pemandu F1. Dia tahu apa yang diperkatakan tentang jentera dan dia tahu apa yang dia mahukan.

“Bersama para jurutera, dia tahu bagaimana untuk menghasilkan jentera yang mempunyai keseimbangan yang baik dan mudah dipandu serta dia bijak dalam pengurusan tayar dan bijak mengawal keadaan ketika perlumbaan,” kata Monaghan
Meskipun kini dia berstatus juara dunia dua kali dan mencipta rekod demi rekod, masih ada ruang untuk dia memperbaiki dirinya dan Monaghan percaya dia akan kembali dengan lebih baik untuk musim 2023 ini.
“Jika anda melihat rekodnya pada musim-musim lalu bersama kami, ianya sangat menakjubkan. Dia tidak akan mencapai semua kejayaan ini jika dia bukan seorang pemandu yang hebat. Mampukah dia menjadi lebih baik, sudah pasti dia boleh.
“Saya rasakan ada beberapa perkara yang perlu dia perbaiki dan dia pasti akan menggalinya untuk mendapatkan prestasi lebih baik buat dirinya dan kini terpulang pada kami untuk memberikannya jentera yang mantap supaya dia dapat serlahkan bakatnya,” tambah Monaghan.
Verstappen akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dunia F1 di Grand Prix Bahrain yang dijadualkan bermula pada 5 Mac 2023 dengan jumlah keseluruhan 24 perlumbaan musim ini.