BEKAS pelumba Formula One Malaysia, Alexander Charles Yoong Loong mengakui tidak melihat apa-apa manfaat daripada perlumbaan simulasi untuk dibawa ke dunia perlumbaan sebenar.

Namun, setelah melihat kepada kemampuan pelumba muda negara, dia menyedari perlumbaan simulasi merupakan acara sukan yang lebih sukar berbanding perlumbaan sebenar.

“Saya orang tua. Pada saya, berlumba simulasi adalah sangat sukar. Ia seperti berlumba dengan hanya sebelah mata. Mereka perlu memiliki visi grafik yang bergerak, penggunaan timing yang baik.

“Sebagai pelumba profesional, saya merasakan ia sangat sukar. Pada mulanya, saya tidak nampak apa yang boleh dipelajari sebagai pelumba simulasi.

“Selepas tengok budak-budak yang minat berlumba ini. Saya melihat mereka lebih fokus dan hebat sebagai pelumba simulasi,” ujarnya ketika ditemui selepasselepas Majlis Kerjasama Royal Selangor dengan eRacing GP pada Khamis.

Sementara itu, Pelumba Sukan Simulator, Naquib Azlan mendedahkan sebab utamanya memasuki sukan perlumbaan simulasi adalah disebabkan bekas pelumba Formula 1 negara, Alex Yoong.

Jelasnya, dia bersyukur ruang tersebut hadir pada masa yang tepat. Sejak kecil, dia memiliki firasat bahawa dia mampu menjadi seorang pelumba terkenal namun sama sekali tidak menyangka impian tersebut berjaya menjadi kenyataan.

“Saya mula bermain permainan lumba kereta sejak dari kecil. Saya selalu mengimpikan untuk menjadi pelumba kereta dari kecil. Sebab paling utama saya masuk ke sini adalah kerana Alex Yoong. Itu yang menaikkan motivasi saya untuk maju ke hadapan,” jelasnya.

Dari sudut latihan, Naquib menjelaskan dia terpaksa menjalani latihan secara konsisten tiga jam sehari pada waktu pagi dan sekiranya ada masa yang terluang akan menyambung dua jam pada waktu malam untuk mengekalkan prestasinya pada tahap terbaik.

“Kami sebagai pelumba simulasi. Kami melakukan latihan selama minimum tiga jam sehari. Jika ada lebih masa, saya akan berlatih tiga jam pagi dan dua jam pada sebelah malam,” katanya.

Bersama pasukan Racing Toyota, Nabil seakan-akan teruja melihat transisi dirinya dari seorang pelumba simulasi yang hanya mempunyai angan-angan sewaktu kecil kepada pelumba yang mampu bersaing di peringkat tertinggi dunia.

Impiannya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia menjadi realiti apabila namanya mula diangkat setelah menjuarai Festival Toyota Gazoo Racing Vios Challenge Rookie 2021 serta Kejuaraan Sporting 2022.

“Racing bersama pasukan Toyota, menukar transisi dari simulasi kepada realiti menunjukkan dunia apa yang pelumba simulasi mampu lakukan.

“Mewakili Malaysia pada saingan FIA Motorsports Games di Perancis merupakan mimpi jadi realiti bagi saya. Saya mahu meletakkan Malaysia dikenali di peta dunia. Kita mahu dikenali dunia dan kami berjaya lakukan itu.

“Saya berjaya layak ke final dan berada dalam kelompok lima terbaik dunia. Ia merupakan detik terbaik buat kami,” kongsinya.

Dalam pada itu, Royal Selangor dan Axle Sports mengumumkan kerjasama dengan eRacing GP yang kini semakin berkembang dalam sukan lumba simulator di rantau ini serta meneruskan pencarian bakat-bakat baharu di Asia Tenggara.

Tahun ini, eRacing GP dan Royal Selangor menyaksikan kerjasama mereka membuahkan hasil dengan penganjuran tiga kejohanan – Edisi Global yang popular kalangan pelumba sukan simulator bersaing dalam empat kategori berdasarkan kemahiran yang dipertunjukkan, Edisi Lumba Pecut (Sprint Edition) akan dibahagikan mengikut kelas Professional dan Amatur serta Edisi Perlumbaan Endurance pula menampilkan pelumba-pelumba terbaik di rantau Asia Tenggara dalam persaingan jentera GT3 untuk kejuaraan kelas Professional dan Professional-Amatur.