BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali mahukan lebih banyak pasukan yang mampu memberikan cabaran kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super musim ini walaupun mengakui ianya adalah tugas yang sukar.
Safee gembira melihat bagaimana kesemua pasukan melakukan persiapan yang mantap dengan kempen pramusim di luar negara untuk menjadi pencabar kejuaraan Liga Super musim ini.
Dia juga mahu para penyokong bola sepak tempatan untuk tidak menafikan kekuatan dan persediaan JDT dalam misi mereka untuk muncul juara Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut sejak 2014.

“Saya rasa tahun ni banyak pasukan boleh memberikan cabaran seperti Kedah, Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur City kerana kesemua pasukan ini melakukan persiapan yang mantap menjelang aksi pembukaan liga.
“Kita tidak perlu nafikan kekuatan JDT dan persiapan yang mereka lakukan. Pasukan lain harus bersaing untuk merebut kejuaraan dan perlu mempunyai sasaran untuk menjadi pasukan nombor satu di Malaysia.
“Jika kita lihat dari persiapan pasukan sahaja, JDT memang mendahului dengan pramusim di Dubai menentang kelab Russia yang mempunyai tahap yang lebih tinggi tetapi ianya akan berbeza untuk menghadapi liga yang panjang dan diharap pasukan lain mampu beri saingan,” katanya ketika ditemui di majlis pengenalan hos penyiar rasmi Liga Malaysia 2023.

Safee juga mengakui masih belum ada pasukan yang mampu mencabar JDT ketika ini dan dia mengalami kesukaran untuk memilih pasukan mana yang dilihat hampir menyamai kekuatan JDT.
“Untuk sekarang sukar untuk kita pilih pasukan mana yang dilihat mampu mencabar JDT tetapi dari segi persiapan, Kedah Kuala Lumpur City, Sabah dan Selangor dilihat mampu menjadi pencabar,” tambahnya.
Liga Super musim baharu akan bermula pada 24 Februari 2023 dengan perlawanan merebut Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.