PEMAIN badminton remaja kebangsaan merangkul dua kejuaraan di Kejohanan Remaja Antarabangsa Itali, melengkapkan minggu cemerlang skuad masa depan, di pentas antarabangsa.

Gelaran juara perseorangan wanita dan beregu lelaki diraih dalam siri jelajah Eropah kali ini, pasti membolehkan jurulatih menarik nafas lega dalam usaha mengembalikan maruah badminton negara.

Bermula dengan perseorangan wanita, Ung Yi Xing beraksi cemerlang ketika berdepan pemain pilihan utama dari Thailand, Sirada Roongpiboonsopit 22-20, 21-16.

Ung Yi Xing cemerlang di Itali.

 

Kecemerlangan diteruskan gandingan beregu lelaki, Kang Khai Xing-Aaron Tai.

Meskipun memegang status pilihan ketiga, gandingan muda negara ini tidak gentar menghadapi saingan pilihan utama dari Sepanyol, Daniel Franco-Rodrigo Sanjurjo.

Mereka menang 29-27, 21-14.

Begitupun Aaron terlepas satu lagi peluang merangkul kejuaraan selepas tewas dalam acara beregu campuran.

Aaron yang bergandingan dengan Chan Wen Tse akur kepada permainan kemas gandingan Thailand, Tanakorn Meechai-Fungfa Korpthammakit, 19-21, 15-21.