NOVA Widianto mengambil mood awal dengan mengunjungi Akademi Badminton Malaysia (ABM), melihat sesi latihan skuad badminton beregu negara dan mendapatkan penerangan daripada Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky.

Kehadiran Nova kira-kira jam 1.30 petang itu, diiringi Rexy yang membawanya meninjau gelanggang latihan di ABM selain diperkenalkan kepada barisan pemain beregu campuran dan pemain lain di bawah kendalian Rexy.

“Pusat latihan ini tidak jauh berbeza berbanding di PBSI (Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia), tetapi lebih moden dan baru,” kata Nova.

Meskipun belum menandatangani kontrak dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Nova mengakui dia perlu mengenali lebih awal selok-belok dalam akademi terbabit, selain beramah mesra dengan pemain serta pegawai.

Rexy Mainaky membawa Nova Widianto meninjau gelanggang di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Saya perlu sesuaikan diri lebih awal, nanti (1 Januari 2023) tidak perlu terpinga-pinga dan boleh terus melatih pemain,” katanya.

Rexy dilihat menunjukkan segenap sudut gelanggang termasuk loker penyimpanan barang.

Nova tiba awal di Malaysia semalam, bersama keluarganya dalam perancangan percutian sempena sambutan Hari Natal.

“Ini adalah kali kedua saya membawa keluarga bercuti Hari Natal di Malaysia, dan tentunya makanan utama saya gemar adalah nasi lemak. Banyak lagi yang saya gemari,” katanya, sambil tersenyum.