MALAYSIA Football League (MFL) bersedia membantu kelab-kelab di Kelantan untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi mengadakan perlawanan di Kota Bharu pada bulan Ramadan bermula musim hadapan.
Ini ekoran rungutan daripada Pembantu Jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor yang tidak gembira kerana pasukannya terpaksa bermain tujuh perlawanan berturut-turut di tempat lawan sepanjang bulan Ramadan yang menjadikan pemainnya keletihan menghadapi aksi Liga Super dan Piala FA.
Perkara ini berlaku kerana Kerajaan Negeri Kelantan mengekalkan dasar tidak membenarkan aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV sepanjang tempoh tersebut.

Keputusan itu selari dengan dasar kerajaan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan kerana kawasan pekarangan stadium dijadikan sebagai Madinah Ramadan untuk tujuan solat terawih perdana.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata sememangnya ada perbezaan dari segi pendapatan kutipan tiket kepada kedua-dua pasukan ini kerana tidak dapat bermain di laman sendiri.
“Saya harap begitu kerana kita dalam satu industri profesional bola sepak kerana jadual akan berterabur yang melibatkan dua kelab dari Kelantan yang tidak boleh bermain ‘home’ dalam satu bulan menjadikan kalendar sedikit berserabut.

“Saya harap kita boleh jalankan perbincangan dengan Kerajaan Tempatan untuk membenarkan pasukan dari Kelantan ini untuk beraksi di bulan Ramadan. Tetapi saya faham ada sensitiviti agama dan sensitiviti tempatan. MFL tidak boleh membuat keputusan atas penggunaan stadium di pihak tempatan.
“Semua perlawanan ditempat lawan pada bulan puasa juga menyebabkan kelab-kelab Kelantan ini mempunyai isu dari sudut kewangan kerana menanggung kos ke perlawanan tempat lawan tanpa mendapat sebarang keuntungan tiket masuk.
“Saya harap perbincangan kedua-dua pasukan ini dengan Kerajaan Negeri perlu diadakan dan MFL sedia membantu untuk memberikan maklumat tambahan kepada kerajaan negeri tetapi inisiatif ini perlu dimulakan sendiri oleh kelab itu,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Jalinan Kasih Bersama Aeon Big dan MFL di Aeon Big Wangsa Maju.

Dalam majlis itu, MFL dan Aeon Big meraikan Anak Yatim dan Miskin Jalinan Kasih Selangor dengan memberi sumbangan baucar beli belah yang boleh digunakan untuk membeli kelengkapan menjelang Aidilfitri hujung minggu ini.
Kelantan United FC dan Kelantan FC masing-masing menghuni dua tangga terbawah Liga Super yang dilihat bergelut untuk menyaingi nama-nama besar selepas dinaikkan pangkat ekoran perubahan struktur liga bola sepak tempatan untuk musim ini.