KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Stuart Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya tidak ada kena mengena dengan kebocoran surat tawaran kontrak kepada pemain Selangor FC.
Ini selepas tular di media sosial mengenai kebocoran maklumat surat tawaran kepada pemain import Selangor FC yang turut mendedahkan gaji serta bonus yang ditawarkan itu adalah berpunca daripada pengendali liga itu.
Stuart turut menjelaskan ini kerana pihaknya hanya menerima kontrak pemain yang dimuat naik di dalam sistem MFL dan bukannya surat tawaran kontrak yang diberikan kepada pemain pasukan terbabit.

Stuart Ramalingam
“MFL tidak akan memberi sebarang kenyataan kepada media sosial tetapi disebabkan ada pertanyaan daripada pihak media, jadi kita akan jelaskan. Sistem MFL adalah pasukan akan memuat naik kontrak pemain tetapi surat tawaran ini tidak wujud dalam sistem kita. Jadi dakwaan itu adalah tidak berfakta dan tidak bertanggungjawab.
“Kita ambil peluang penjelasan ini susulan pertanyaan media untuk jelaskan bahawa dokumen ini tidak wujud dalam sistem MFL,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Jalinan Kasih AEON BiG dan MFL di Wangsa Maju pada Selasa.
Ketika ditanya sekiranya MFL ada berhubung dengan pengurusan Selangor FC mengenai isu ini, Stuart menyatakan pengurusan pasukan itu pasti tahu mengenai dokumen yang sudah dimuatnaik dalam sistem MFL.

Dokumen tawaran yang tular
“Saya rasa Selangor FC tahu apa yang dimuatnaik dalam sistem kita. Kita tidak muatnaik apa apa dokumen tetapi pasukan yang lakukannya. Saya percaya SFC tahu yang dokumen ini bukan datang daripada MFL,” tegasnya.
Perkara itu menjadi perdebatan hebat antara para penyokong bola sepak tempatan dengan kebanyakan jari tertuding kepada MFL namun kini ianya telah dinafikan oleh badan pengelola liga itu.