KEDAH Darul Aman FC kembali menemui sentuhan kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini dengan menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya mengawal permainan sejak dari wisel permulaan dan dua gol meneruskan peledak utama, Willian Lira pada setiap babak, cukup untuk memberikan Sang Kenari tiga mata penuh yang cukup berharga.
Bermain dalam keadaan padang yang basah ekoran cuaca hujan sejak petang sedikit merencatkan aksi kedua-dua pasukan dengan tuan rumah, NSFC lebih banyak menggunakan corak serangan balas untuk menyerang kubu Kedah terutama pada babak pertama.
Lira membuka tirai jaringan selepas 30 minit perlawanan apabila dia yang tidak dikawal dalam selesa menanduk masuk bola hantaran Manuel Hidalgo untuk gol pertama Kedah dan keempat peribadinya musim ini.
LIGA SUPER 2023
FT: Negeri Sembilan FC 1-2 Kedah FC
⚽ Zainal Abidin Jamil 35'
⚽ Willian Lira 32', 72'#LigaSuper2023#HobinJangHobin#PulunKedahPulun pic.twitter.com/03PCVbnQut— Flash Sukan (@FlashSukan) April 28, 2023
Berselang tiga minit ketika Kedah selesai meraikan jaringan pembukaan, Zainal Abidin Jamil menjaringkan gol penyamaan selepas bola rembatan deras Tommy Mawat dari luar kotak penalti terbias kepadanya untuk mengelirukan Kalamullah Al-Hafiz di gawang Kedah.
Shahrel Fikri nyaris menggandakan kelebihan NSFC namun rembatannya di dalam kotak penalti berjaya dinafikan Kalamullah untuk kedudukan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan NSFC melakukan pertukaran dengan memasukkan Herold Goulon untuk membantu mengukuhkan lagi barisan pertahanan Skuad Jang namun tetap tidak dapat mengelak daripada dibolosi.
Kedah berjaya didepan selepas Lira sekali lagi menanduk masuk menewaskan Goulon dan Sikh Izhan hasil hantaran lintang pemain naturalisasi negara, Lee Tuck pada minit ke-72 untuk gol kemenangan Sang Kenari.
Beberapa percubaan dilakukan oleh anak-anak buah K. Devan pada minit-minit terakhir perlawanan untuk mendapatkan gol penyamaan namun tidak berhasil dan mereka terpaksa menerima hakikat tewas di laman sendiri buat kali kedua musim ini.
Kemenangan keenam Kedah itu kembali meletakkan mereka di tangga kelima dengan 19 mata selepas 10 perlawanan manakala Negeri Sembilan pula di tangga kesembilan dengan 10 mata selepas berakhir 9 perlawanan.