SAINGAN Piala Emas Raja-Raja (PERR) kembali merancakkan arena bola sepak tanah air apabila 16 pasukan bakal bersaing merebut kejuaraan, bermula Oktober depan.
Saingan selama sebulan itu akan bermula dengan perebutan trofi Piala Agong, antara juara PERR musim lalu, Selangor menentang juara Piala Agong musim lalu, Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, kejohanan itu akan bermula dengan perebutan Piala Agong pada 7 Oktober, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Selepas perebutan Piala Agong antara Selangor dan Kuala Lumpur, kempen Piala Emas Raja-Raja akan bermula pada 27 Oktober membabitkan saingan 16 pasukan yang terdiri daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, KL, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Empat lagi pasukan adalah ATM, PDRM serta tiga pasukan jemputan iaitu Bomba, Singapura dan MySPRM-ACeIO (yang diwakili pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Kejohanan ini masih mengekalkan format pemain berusia 25 tahun ke bawah,” kata Firdaus, pada sidang media yang berlangsung di ibu negara.
Turut hadir, Pengerusi Pertandingan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) merangkap Pengerusi Piala Emas Raja-Raja, Ku Besry Ku Aziz dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Datuk Ramlan Askolani.
Pada final PERR musim lalu, Selangor menamatkan badi 25 tahun apabila menjulang Piala Emas Raja Raja selepas menewaskan PDRM dengan keputusan 3-2.
Manakala, Kuala Lumpur muncul pemenang Piala Agong musim lalu selepas membelasah Pahang 4-1.