KETUA jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel memilih nada realistik tetapi penuh kepercayaan menjelang pertembungan terakhir ACL 2 menentang Lion City Sailors malam ini, apabila beliau mengakui pasukan dari Singapura itu memiliki keupayaan untuk “membunuh” mana-mana lawan, namun menegaskan inilah medan terbaik untuk skuad mudanya belajar dan berkembang.
Selangor kini menghuni tangga tercorot kumpulan dengan hanya satu mata selepas lima aksi, rekod yang mencerminkan cabaran besar untuk menyesuaikan diri dengan intensiti Liga Juara-Juara Asia 2. Gamel tidak berdalih apabila menyentuh mengenai kekuatan Sailors, menyifatkan mereka sebagai pasukan yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai situasi — termasuk ruang sisi, kawasan enam ela dan percubaan jauh.
“Mereka sangat berbahaya dalam serangan. Mereka boleh ‘membunuh’ sesiapa sahaja… laju, kuat, dan sentiasa manfaatkan ruang,” katanya ketika sesi sidang media pra-perlawanan. Namun di sebalik amaran keras itu, Gamel tetap mempertahankan proses pembelajaran pemain-pemain mudanya, sambil menegaskan bahawa kematangan hanya datang melalui pengalaman di pentas tinggi seperti ini.
“Kami pasukan muda. Kadang kurang matang dalam momentum atau cara hadam perlawanan, tetapi kami belajar setiap kali beraksi. Pemain muda perlu diberi ruang untuk buat kesilapan, itu sebahagian daripada perkembangan mereka,” ujarnya.
Selangor tewas dalam semua aksi ACL 2 setakat ini kecuali keputusan seri di Bangkok pada 26 November lalu, tetapi Gamel mahu anak buahnya turun tanpa rasa gentar, menggunakan perlawanan terakhir ini sebagai batu loncatan untuk membina identiti lebih kukuh.
Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini bakal menjadi ujian besar terakhir Selangor dalam kempen ACL 2, dan Gamel berharap segala pengalaman pahit manis sepanjang saingan ini menjadi asas kepada pasukan yang lebih matang pada masa depan.