KETUA Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Soleen Al-Zoubi menganggap hanya tempat ketiga bakal menjadi hadiah terbaik buat para pemainnya selepas tidak berjaya ke final Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi apabila tewas menerusi penentuan penalti kepada Lubnan di separuh akhir.
Malayan Tigress bakal bertemu Arab Saudi sekali lagi kali ini dalam penentuan tempat ketiga keempat dengan aksi ketika peringkat kumpulan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan pembukaan kejohanan.
Dia juga berkata tugas utamanya untuk menghadapi perlawanan ini adalah memastikan setiap pemain mengawal tekanan terutama di hadapan gawang dan juga ketika penentuan penalti sekiranya diperlukan.

“Semua sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini. Bagus kerana kami pernah bermain dengan mereka sebelum ini jadi kami tahu kelemahan dan kekuatan mereka dan kami akan gunakan kelemahan mereka untuk melakukan serangan.
“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku dan sudah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk penentuan penalti. Tentang penalti, ianya bukan tentang mengajar pemain mengambil sepakan tetapi lebih kepada mengajar mereka bagaimana mengawal tekanan.
“Ada kalanya, pemain ternama dunia juga gagal sempurnakan penalti dan kami akan jadikannya sebagai pengalaman untuk menghadapinya sekali lagi jika diperlukan pada perlawanan esok,” katanya.

Soleen juga lega kerana para pemain dapat menerima kekalahan dan mereka juga sudah pulih dari keletihan akibat bermain hingga masa tambahan selain berada dalam keadaan positif untuk menamatkan saingan di kedudukan podium.
“Pemain berjaya menerima kekalahan kerana seperti yang saya katakan mereka beraksi baik dengan memberikan lebih dari 100 peratus. Mereka juga terpaksa menempuh 120 minit permainan dan berlari sehingga 15km dan ianya satu cabaran untuk mereka pulih sepenuhnya.
“Mereka juga berada dalam keadaan positif dan mereka berhak mendapat tempat ketiga, tidak ada keputusan lain yang wajar buat para pemain,” jelasnya.
Meskipun masih gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan, namun skuad kebangsaan juga mempamerkan aksi bertahan yang baik apabila masih tidak bolos dalam sepanjang kejohanan setakat ini.