PENGENDALI Indonesia, Shin Tae-yong tidak akan melihat kepada rekod lampau apabila skuad kendaliannya turun menentang seteru serantau, Vietnam dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Piala Asia 2023 di Qatar pada Jumaat.
Dalam empat pertemuan sebelum ini sejak mengambil alih pasukan, Tae-yong merekodkan dua keputusan seri dan dua kekalahan tetapi bekas pengendali Korea Selatan itu menganggap pertemuan kali ini sebagai perlawanan yang berbeza.
Dengan Jepun bertemu Iraq dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, kemenangan akan kembali meletakkan Indonesia di landasan yang tepat untuk layak ke pusingan 16 terbaik sebelum bertemu Samurai Biru.

“Kami sudah bertemu sesama sendiri sejak dahulu bukan sahaja di pentas Piala Asia tetapi juga di Kelayakan Piala Dunia. Kedua-dua pasukan tewas perlawanan pertama dan aksi ini sangat penting kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan.
“Keputusan yang lalu sudah berlalu dan saya pasti dalam perlawanan kali ini, kami akan tunjukkan aksi yang lebih baik berbanding sebelum ini dan ianya satu kelebihan buat pemain saya untuk bertemu skuad Vietnam yang kuat,” katanya.
Sementara itu pemain pertahanan, Jordi Amat pula mahu rakan-rakan sepasukannya melupakan kekalahan sebelum ini dan fokus pada perlawanan menentang Vietnam untuk mencari tiga mata penuh.

“Sudah tentu ianya akan menjadi perlawanan yang sukar. Aksi ini juga sangat penting buat Indonesia kerana kami inginkan kemenangan. Oleh itu kami perlu menunjukkan prestasi yang baik dan saya percaya kami mampu lakukannya.
“Ya kami tewas perlawanan pertama tetapi saya gembira dengan aksi yang kami tunjukkan walaupun keputusan tidak memihak kami. Kami adalah pasukan skuad yang muda dan pasukan ini akan bertambah baik dari hari ke hari.
“Kami sudah menganalisa perlawanan Vietnam dan mereka cukup baik pada babak pertama. Kami akan mengikuti arahan jurulatih dan berikan yang terbaik untuk menewaskan mereka,” jelas kapten Johor Darul Ta’zim itu.
Indonesia tewas 1-3 kepada Iraq pada perlawanan pertama dan jika tewas pada perlawanan kedua, ianya akan menyukarkan peluang Garuda ke pusingan seterusnya.