PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan barisan terkuat bagi mengharungi cabaran Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang akan berlangsung dari 13 hingga 18 Februari 2023 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky yang mengumumkan barisan pemain bagi menghadapi BATC 2024 dalam satu sidang media pada Jumaat.
Misi negara yang turun selaku juara bertahan bakal digalas pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Justin Hoh dan Eogene Ewe manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri bagi sektor beregu.

Rexy berkata keputusan menghantar pasukan terkuat dibuat memandangkan negara lain seperti China, Korea Selatan dan India turut menampilkan barisan terbaik mereka dalam kejohanan yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
“Persaingan kali ini tidak sama dengan dua tahun lepas, ini kerana ketika ini semua team dalam pecutan akhir dan letak pemain terbaik untuk kukuhkan kedudukan mereka ke Olimpik.
“Saya yakin semua jurulatih sudah mengenali kekuatan dan kelemahan lawan dan sekarang terpulang pada mereka untuk menyediakan pemain untuk bersaing,” katanya.
#SELBATC2024 Inilah Barisan Kita 🇲🇾#DemiMalaysia#GemilangkanLagi#BadmintonMalaysia pic.twitter.com/rDxNCJ487z
— BAM (@BA_Malaysia) January 26, 2024
Legenda badminton Indonesia itu juga berharap agar Lee Zii Jia dapat mengekalkan momentumnya selepas mara ke suku akhir Masters Indonesia selain mahu melihat Tze Yong dapat menampilkan aksi terbaik biarpun masih menjalani pemulihan daripada masalah kecederaan otot belakang ketika ini.
Dia juga yakin Aaron dan Wooi Yik mampu mengutip mata untuk negara selain menuntut agar Sze Fei-Nur Izzuddin mampu mengurangkan kesilapan seperti dilakukan ketika Masters Indonesia sehingga menyaksikan mereka tersingkir di pusingan pertama.
Sementara itu, Rexy berkata pemain profesional, Goh Jin Wei serta beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut disenaraikan untuk mewakili skuad wanita pada BATC 2024.

Rexy turut mengesahkan bahawa Teoh Mei Xing tetap disenaraikan meskipun pasangannya, Anna Ching Yik Cheong mengalami kecederaan dan terpaksa melupakan saingan BATC kali ini.
Ketua jurulatih perseorangan wanita K. Yogendran mahu melihat skuad negara menampilkan persembahan terbaik pada saingan kali ini selepas layak ke separuh akhir pada edisi 2022.