SEMUANYA kerana pilihan dan tiada ikatan kontrak bersama Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) membuatkan Nova Widianto memilih berhijrah ke Malaysia.

Menurut laporan detiksport, jurulatih beregu campuran Indonesia itu tiada kontrak bersama PBSI dan apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menawarkan kontrak selama dua tahun, Nova tidak menoleh ke belakang lagi.

“Disebabkan kami tiada kontrak, setiap tahun ada penilaian. Jadi pilihan adalah antara kami kekal di Cipayung (PBSI), kerana kami tidak mempunyai kontrak, tidak semestinya juga. Kemudian Malaysia (BAM) menawarkan… ya akhirnya saya memilih Malaysia. Itu sahaja,” kata Nova.

Menurut Nova, beliau tiada masalah dengan pengurusan PBSI namun, memikirkan masa depan keluarganya, beliau mahu menyediakan keperluan terbaik.

Nova juga mengakui menerima tawaran dari Malaysia sudah agak lama, namun hanya serius pada Terbuka Jepun, September lalu, namun hanya membuat keputusan mengenainya bulan ini.

 

Rinov Rivaldy-Phita Haningtyas Mentari, bimbingan Nova Widianto yang kini berada di ranking ke-11 dunia.

Sepanjang melatih beregu campuran Indonesia, Nova berjaya menempatkan pemainnya dalam kelompok 15 terbaik dunia.

Antara gandingan bimbingan Nova adalah, Rinov Rivaldy-Phita Haningtyas Mentari yang berada di ranking ke-11 dunia dan membawa Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati muncul juara Terbuka Hylo, di Jerman tahun ini.

“Di Malaysia, mereka adalah pasangan baru dan bukannya senior, malah usia pemain mereka sama seperti pemain Indonesia, Cuma pasangan di Indonesia sudah ‘top’. Di Malaysia ini cabarannya lebih berat, tapi saya optimis dan berharap pemain Malaysia juga optimis untuk layak ke Olimpik,” kata Nova.

Artikel Berkaitan:

“Nova Widianto akan cetus impak besar” – Goh Liu Ying

Nova Widianto jurulatih baharu beregu campuran