JOHOR Darul Ta’zim FC telah memperkenalkan jersi baharu bagi musim 2024/25 dalam satu majlis pelancaran pada Rabu.

Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai penyokong setia ke Stadium Sultan Ibrahim.

Pasukan Harimau Selatan itu masih lagi mengekalkan jenama Nike sebagai pengeluar jersi kelab tersebut untuk musim kesepuluh berturut-turut.

“Ini adalah tahun kesepuluh kerjasama Nike bersama Harimau Selatan sejak 2014. Jersi ini adalah lambang legasi kejayaan sedekad dominasi serta prestij jenama antara kedua-dua pihak”, kata pengeluar terkemuka jenama pakaian sukan itu.

Warna keramat dan tradisi Johor, biru dan merah untuk kit JDT ‘Home’ dan jersi berwarna putih untuk kit ‘Away’.

Ia tampil dengan warna biru sebagai warna utama, diselangi jalur berwarna merah di bahagian hadapan dan belakang, serta kolar bulat dan terdapat jalur merah di bahagian hujung lengan.

Sementara jersi ‘Away’ JDT kekal dengan warna putih dengan rekaan jalur merah di bahagian lengan dan juga leher jersi.

Apa yang menarik, ciri unik yang membezakan dengan jersi terdahulu adalah nama Harimau Selatan di bahagian dalam belakang kit terbaharu ini.

Salah seorang penyokong kelab melihat jersi baharu yang dilancarkan malam ini.

Sementara itu, pengenalan jersi baharu tersebut dilancarkan menerusi sebuah video berdurasi dua minit 10 saat yang berkisar mengenai pasukan JDT bukan sekadar sebuah kelab bola sepak, sebaliknya ia juga sebagai ejen penyatuan rakyat yang berkongsi minat dan rasa cinta yang sama.

Video tersebut turut memberi bayangan bahawa skuad JDT telah bersedia menghadapi musim baharu dalam misi memburu kemenangan demi kemenangan.

Antara penyokong yang hadir untuk membeli jersi terbaru pasukan di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagi penyokong-penyokong setia JDT, koleksi terbaharu jersi ini boleh dibeli secara atas talian (JDT Online Store) ataupun pembelian secara ‘walk-in’ di JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim pada harga RM299 sehelai.

Jersi khas untuk para penyokong wanita juga boleh didapatkan dengan harga yang sama. Atas permintaan ramai, pihak Nike telah pun menambah saiz jersi ‘Home’ dan ‘Away’ lelaki sehingga 3XL.

Karnival turut diadakan sempena majlis pelancaran ini dengan beberapa persembahan dari Boys of Straits, Kidd Santhe, Saixe dan juga DJ Naufal.