DUA pemain Harimau Malaya mencuri tumpuan dalam tempoh 24 jam apabila Rodrigo Holgado kembali ke pangkuan Coquimbo Unido manakala Gabriel Palmero pula sah menyertai Kuching City, menyaksikan landskap karier antarabangsa dan domestik skuad kebangsaan terus berubah.

Holgado, 30, diumumkan secara rasmi oleh kelab Chile itu sebagai pemain pinjaman sehingga Jun 2026, sekali gus menamatkan segala spekulasi mengenai haluannya selepas tidak akan bersama America de Cali bagi musim baharu. Coquimbo menyambut kepulangannya penuh emosi dengan menyifatkan penyerang itu kembali ke rumah sendiri, tempat dia pernah melakar sejarah bersama keluarga Aurinegro, malah kelab berjanji akan berdiri teguh mengiringi setiap langkahnya.

Ini bukan destinasi asing buat Holgado kerana dia pernah menyarung jersi pasukan sama pada 2023 dan kepulangannya kali ini dijangka menambah sengat jentera serangan. Lebih menarik, dia berpotensi bertemu bekas penyerang Selangor, Ronnie Fernandez yang kini memperkuatkan CD Palestino selepas meninggalkan Merah Kuning pada penghujung musim 2024/25.

Dalam perkembangan berasingan tetapi sama hangat, Kuching City akhirnya merungkai teka-teki masa depan Gabriel Palmero apabila mengumumkan bek kiri itu sebagai rekrut terbaharu mereka. Hantaran ringkas “Gabriel Palmero pemain baharu Kuching City” sudah cukup untuk menamatkan khabar angin yang berlegar sejak beberapa hari lalu, termasuk cerita peminat terserempak pemain kelahiran Sepanyol itu di lapangan terbang serta petunjuk daripada perkongsian di media sosialnya.

Bumi Kenyalang kini menjadi rumah baharu buat Palmero yang tiba sebagai ejen bebas selepas kontraknya bersama CD Tenerife ditamatkan susulan penggantungan FIFA sebelum ini. Kehadirannya pasti diharap mampu memperkukuh benteng The Cats bagi menghadapi cabaran musim yang semakin mencabar.