KEDATANGAN bintang bola sepak Selangor FC, Faisal Halim ke Stadium MBPJ pada Sabtu telah menjadi antara faktor utama kemenangan tanpa bolos skuad Gergasi Merah pada aksi Piala FA menentang Negeri Sembilan FC.
Perkara ini diakui sendiri oleh Ketua jurulatih, Nidzam Jamil yang menganggap kemunculan tidak diduga oleh Faisal Halim itu adalah satu pembakar semangat buat rakan sepasukan untuk saling bekerja lebih keras di atas padang.
Tidak lupa juga, penyokong-penyokong tuan rumah itu juga menyambut meriah kehadiran Faisal dengan nyanyian dan laungan nama ‘Faisal Halim’ di mana sekali gus dapat menaikkan lagi aura positif dan semangat juang kepada para pemain.
“Sudah tentu kehadiran Faisal menjadi tonik semangat kepada pasukan kerana saya rasa Faisal dah sebulan tak bersama dengan kita, ia seperti pecahan yang hilang. Jadi kita gembira Faisal ada disini untuk tengok dan dia masuk ke bilik persalinan sebelum perlawanan.

Nidzam Jamil, ketua jurulatih Selangor FC.
“Semua tidak menjangka dia turun hari ini, kita semua juga agak emosi (terharu) dan kami bergurau senda seperti biasa. Saya sangat rindu untuk berborak bersama dia, saya pasti kita semua rindu dan bukan saya sahaja.
“Untuk malam ini, apa-apa sahaja keputusan yang boleh membawa kita ke peringkat seterusnya itu adalah kejayaan yang kita kongsi bersama pemain. Tanpa bolos itu juga bagus dan mereka semua faham cara permainan yang kita semua impikan dan bayangkan,” ujar Nidzam Jamil ketika ditemui selepas tamat perlawanan pada Sabtu.
Kehadiran Faisal Halim ke Stadium MBPJ bagi menonton aksi perlawanan antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC petang ini! Rindu Mickeyyy 🤍⚽️ pic.twitter.com/c9OrQmr2z1
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 15, 2024
Kejayaan Selangor FC dalam menundukkan Negeri Sembilan FC 4-0 pada aksi pusingan 16 Piala FA 2024-2025 telah memberi peluang untuk The Red Giants mara ke peringkat suku akhir perlawanan.
Mereka dijadualkan akan bertemu dengan pasukan Kuching City FC apabila pasukan The Cats itu terlebih dahulu menempah tempat ke suku akhir selepas membenam Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi yang berlangsung pada Sabtu.