SKUAD Kuala Lumpur Rangers FC (KL Rangers) mahu memberikan saingan sengit kepada pasukan lain biarpun bakal membuat penampilan sulung pada Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 selain Liga A2 Amateur Football League (AFL).
Penaung KL Rangers, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan keyakinan tersebut bersandarkan kepada pencapaian membanggakan pasukan itu muncul naib juara Kuala Lumpur Women’s Super League 2024.
Pasukan yang sebelum ini dikenali Setiawangsa Rangers FC itu juga dibarisi pemain-pemain yang membawa Wilayah Persekutuan mara ke separuh akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.
“Apa yang penting kita nak ‘survive’ dan tidak tersingkir. Selain itu, kita akan belajar strategi bermain di liga yang lebih besar memandangkan selama ini kita bermain di kolam yang kecil.
“Sekarang kita dah masuk mungkin tasik yang besar dan kita perlu lihat serta sesuaikan dari situ mengenai bajet dan persiapan pemain,” katanya pada majlis pelancaran jersi KL Rangers di Wangsa Maju pada Sabtu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu juga berkata skuad lelaki mereka berhasrat untuk beraksi buat pertama kali pada Liga Amatur A2 Malaysia musim depan dan kini menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga pada masa sama menjelaskan pasukannya mengintai peluang untuk menjadikan Arena Sukan Kuala Lumpur sebagai laman rasmi mereka memandangkan venue tersebut terletak di dalam kawasannya.
Ditanya mengenai penjenamaan semula Setiawangsa Rangers kepada KL Rangers, beliau berkata ianya bertujuan untuk meluaskan capaian dan memastikan pasukan tersebut lebih dikenali di ibu kota.