AKSI Euro Wanita 2022 kumpulan C menyaksikan Belanda berhempas pulas sebelum menundukkan Portugal 3-2 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Leigh Sports Village, England.
Van De Donk muncul wira Oranje dengan jaringan kemenangan pada minit ke-62 sekaligus meletakkan juara bertahan memperoleh kemenangan pertama saingan kumpulan C.
Dua gol awal pasukan Belanda disumbat Egurrola dan Van Der Gragt manakala gol pasukan Portugal dijaringkan Costa dan Silva.

90 minit perlawanan jelas dikuasai Belanda dengan mengawal 63 peratus perlawanan manakala Portugal hanya berjaya memperoleh 37 peratus kawalan bola.
Sementara itu, satu lagi aksi kumpulan C di Stadium Bramall Lane menyaksikan Sweden membenam Switzerland 2-1. Rolfo dan Bennison muncul pencetak gol Sweden manakala gol saguhati pasukan Swiss disumbat Bachmann.
Keputusan tersebut menyaksikan Belanda dan Sweden masing-masing berada di tempat pertama dan kedua kumpulan C dengan empat mata manakala Portugal dan Switzerland masing-masing dengan satu mata selepas mengharungi dua perlawanan dalam aksi kumpulan.