AURA legenda bakal menyinari tanah air apabila ikon Manchester United dan bola sepak dunia, Ryan Giggs, disahkan bakal hadir ke Malaysia pada 17 dan 18 Mei ini sebagai sebahagian daripada kempen promosi perlawanan berprestij antara Manchester United menentang ASEAN All Star.

Kehadiran bekas pemain kebangsaan Wales itu bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi menjadi simbol keterujaan menjelang aksi yang dinantikan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei nanti.

Giggs, yang mencipta nama sebagai antara pemain paling berjaya dalam sejarah The Red Devils, dijangka menjadi tumpuan utama peminat yang mahu merasai pengalaman bersemuka dengan legenda sebenar.

Sepanjang dua hari kunjungannya, pelbagai aktiviti istimewa telah diatur. Antaranya termasuk Football Clinic khas di Lalaport, sesi penggambaran kandungan promosi di Stadium Bukit Jalil, serta sesi makan tengah hari eksklusif di Crowne Plaza Hotel.

Giggs juga akan disambut secara rasmi di Adidas Brand Center, Pavilion Kuala Lumpur, sebelum menjalani sesi penghasilan kandungan media sosial bersama Adidas dan acara kemuncak sesi ramah mesra (meet and greet) bersama peminat.

Kunjungan ini bukan sahaja menambahkan kehangatan menjelang pertembungan bersejarah antara Manchester United dan bintang-bintang terbaik Asia Tenggara, malah memberikan peluang keemasan kepada peminat tanah air untuk bertemu idola mereka secara dekat peluang yang jarang berlaku.

Bagi yang masih belum mendapatkan tiket, Flash Sukan menyeru agar segera melayari myticketempire.com/manumy sebelum kehabisan, memandangkan sambutan luar biasa sudah mula dirasai sejak pengumuman perlawanan dibuat.

Dengan rekod 963 penampilan, 168 gol dan 35 trofi bersama Manchester United, kehadiran Ryan Giggs bukan sekadar memanaskan promosi  malah menjadi simbol inspirasi kepada generasi baharu dan peminat bola sepak tempatan yang bakal menyaksikan kehebatan Red Devils secara langsung di bumi Malaysia.