SOKONGAN padu peminat tempatan di Axiata Arena perlu dijadikan tonik kemenangan buat pemain perseorangan negara pada kempen Terbuka Malaysia 2026, kata legenda negara Datuk Foo Kok Keong.
Kok Keong mengakui aura bermain di laman sendiri sentiasa menjadi cabaran besar berdasarkan pengalamannya sendiri ketika masih aktif, termasuk dua kali tewas di final Terbuka Malaysia.
“Susah nak cakap, sebab pada zaman saya pun saya masuk final Terbuka Malaysia tetapi kalah (kepada Datuk Rashid Sidek),” katanya, ditemui di pejabat Persaruan Badminton Malaysia (BAM).

Leong Jun Hao wakil tunggal perseorangan lelaki negara layak beraksi di Terbuka Malaysia 2026, yang memegang status Super 1,000.
Beliau menegaskan tekanan daripada harapan tinggi peminat sukar dielakkan, namun pemain perlu bijak menukarnya menjadi dorongan positif untuk melonjakkan prestasi di gelanggang.

Datuk Foo Kok Keong pernah dua kali bergelar naib juara Terbuka Malaysia 1990 dan 1991, kedua-duanya tewas kepada Datuk Rashid Sidek di final.
Terbuka Malaysia yang berlangsung dari 6 hingga 11 Januari ini menyaksikan dua perseorangan negara, Lee Zii Jia (profesional) dan Leong Jun Hao, menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki.
Zii Jia dijadual berdepan pemain muda India, Ayush Shetty, di pusingan pertama, manakala Jun Hao berdepan ujian getir menentang pemain China yang juga ranking ke-29 dunia, Wang Zheng Xing.

Datuk Seri Lee Chong menjadi pemain terakhir negara memenangi gelaran Terbuka Malaysia.
Mengulas keperluan mengawal tekanan, Kok Keong berkata, pengalaman beraksi di kejohanan antarabangsa serta analisis permainan lawan amat penting kerana keyakinan sebenar datang daripada diri pemain sendiri.
Dalam masa sama, beliau berharap kebangkitan segera perseorangan lelaki negara selepas musim sukar 2025 dengan menegaskan pemain perlu bekerja lebih keras dan tidak hanya bergantung kepada latihan semata-mata.