PELUMBA muda motosikal negara, Hakim Danish Ramli yang baharu sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kini bersedia untuk kembali memulakan cabaran dalam kerjayanya.
Walaupun masih dalam proses pemulihan kecederaan, semangat juang anak muda berusia 18 tahun ini jelas tidak pernah luntur.
Hakim Danish mengalami kecederaan pada tangan kanannya dua bulan lalu, melibatkan keretakan pada sendi tulang di hujung jarinya.
Kecederaan tersebut memerlukan masa tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya, perkembangan terkini menunjukkan keadaannya semakin baik.
“Saya cedera pada hujung jari, di antara sendi tulang, hujung jari saya patah dan bengkok, tetapi sekarang sudah mula pulih.
“Minggu ini, wayar yang berada di dalam jari saya akan dibuang, dan minggu depan saya akan cuba membawa motosikal semula,” katanya.

Hakim Danish (tengah) bersama-sama Zulfahmi Khairuddin (kiri) dan Qabil Irfan (kanan).
Sepanjang tempoh pemulihan, Hakim hanya fokus pada latihan kecergasan untuk mengekalkan stamina dan memastikan dirinya bersedia menghadapi musim baharu.
Untuk musim baharu ini, Hakim akan berlumba dalam Rookies Cup di bawah pasukan ZK Racing dan Sepang Circuit.
Pada masa yang sama, Hakim bertekad untuk mencapai kedudukan tiga terbaik dalam kategori diceburi bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia.
“Tahun lepas, saya berjaya berada dalam kedudukan tiga terbaik secara keseluruhan. Jadi, untuk layak ke Kejohanan Dunia, saya perlu mengekalkan prestasi dan mencapai kedudukan yang sama.
“Insyaallah, tahun ini saya akan cuba yang terbaik untuk berada di podium lagi,” ujar Hakim.

Qabil Irfan (dua kanan)
Selain itu, Hakim turut berkongsi bahawa musim ini akan lebih mencabar dengan kemunculan ramai pelumba baharu yang lebih pantas dan agresif.
Antara pesaing utama yang dijangka memberikan cabaran sengit adalah Brian Uriate, pelumba yang berasal daripada Sepanyol.
Selain Rookies Cup, Hakim juga bercadang untuk menyertai Junior GP, namun perbincangan bersama pasukan ZK Racing masih berlangsung.
“Buat masa ini, kami sedang berbincang dengan pasukan, belum ada pengesahan lagi, tetapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk musim ini,” jelasnya.
Dengan semangat juang tinggi dan persiapan rapi, pelumba muda ini yakin mampu mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.