JUARA dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Dunia 2025, selepas mengatasi rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King dalam pertarungan epik lebih sejam di Porte de La Chapelle, Paris.

Aaron bagaimanapun sudah menjangka aksi mendebarkan itu memandangkan Arif-Roy King mempamerkan prestasi cemerlang pada pusingan pertama dan kedua.

“Kami tak menjangka boleh menang sebagai senior kerana tahu ia akan jadi perlawanan sukar, Arif dan Roy King bermain cemerlang sejak pusingan pertama dan kedua,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir menerusi kemenangan 18-21, 21-18, 26-24 dalam pertarungan sengit selama 64 minit.

Arif-Roy King hampir mengejutkan pasangan utama negara, Aaron-Wooi Yik di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025.

Mengakui saling mengenali corak permainan kerana berlatih bersama setiap hari, Wooi Yik menegaskan kemenangan mereka juga sedikit dipengaruhi faktor tuah di mata penamat.

“Ya, mereka bermain sangat baik hari ini, mungkin pada saat-saat genting tuah memihak kepada kami tetapi jujurnya mereka benar-benar beri tentangan hebat,” ujar Wooi Yik.

Pasangan pilihan negara itu turut mengakui masih banyak ruang perlu diperbaiki menjelang aksi getir suku akhir menentang lawan yang lebih kuat sama ada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (India) atau pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

“Sudah tentu kami gembira dengan kemenangan ini tetapi banyak lagi perlu diperbaiki kerana lawan seterusnya pasti lebih mencabar,” jelas Wooi Yik.