BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kecundang dalam perjuangan menamatkan kemarau gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tewas di final Terbuka China pada Ahad.

Tenggelam dalam sorakan penyokong tuan rumah, Aaron-Wooi Yik bagai hilang taring apabila mudah tunduk kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21, pada aksi yang berlangsung selama 26 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Ini adalah kali kedua pasangan China itu menafikan Aaron-Wooi Yik untuk meraih gelaran sulung mereka selepas turut melakukannya pada final Terbuka India, Januari lalu.

Liang Wei Keng-Wang Chang menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kali kedua di final dan melebarkan kelebihan rekod pertemuan kepada 5-1.

Selepas gagal di Terbuka India, Aaron-Wooi Yik turut gagal meraih kejuaraan Terbuka Indonesia selepas tewas kepada gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty biarpun berjaya ke final.

Selaku juara, Wei Keng-Wang Chang membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM692,122) manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$70,000 (RM327,355).

Bagaimanapun aksi longlai beregu negara itu, berikutan Wooi Yik mengalami demam panas malam sebelum perlawanan, sehingga mereka mempamerkan prestasi di bawah tahap sebenar.

Setidak-tidaknya Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan saingan di kedudukan kedua, peluang baik mengumpul lebih banyak mata kelayakan Olimpik.

“Mereka mungkin menewaskan kami tetapi sebenarnya kami tewas kepada diri sendiri. Kami sendiri melakukan banyak kesilapan. Sudah tentu ini adalah peluang terbaik untuk kami kerana masih dahagakan kejuaraan kali pertama.

“Sudah beberapa kali kami dapat melangkah ke final tetapi masih tidak dapat meraihnya (gelaran sulung) lagi. Tapi kami tahu satu hari nanti kami akan dapat melakukannya dan belum masanya sekarang.

“Kami masih berada pada prestasi terbaik dan sekarang mula fokus kepada persediaan untuk menghadapi Terbuka Hong Kong pula,” kata Aaron kepada BWF.

Pada Terbuka Hong Kong bermula esok, Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking keenam dunia akan menentang rakan sepasukan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama.