TAHUN 2023 seakan membawa sinar positif buat pasukan Harimau Malaya apabila mencatatkan keputusan positif yang jelas menunjukkan transformasi pasukan kebangsaan ketika ini.

Sepanjang tahun 2023, sembilan perlawanan telah dilalui skuad kendalian Kim Pan-gon ini dan seperti tidak percaya, Malaysia mencatatkan enam kemenangan, dua keputusan seri dan hanya tewas sekali itu pun pada perlawanan yang berada di luar kalendar antarabangsa Fifa.

Sebagai rekod, Malaysia hanya tewas sekali kepada Thailand dalam aksi separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 dan selepas itu Harimau Malaya terus mengaum dan membaham mangsa yang datang melawan.

Tiga siri kalendar antarabangsa Fifa ditempuh dengan bergaya sama ada di Iskandar Puteri, Kuala Terengganu hingga ke Chengdu, China. Enam lawan yang ditentang tidak menemui jawapan bagaimana hendak menewaskan Malaysia dengan gandingan mantap di setiap posisi.

Dari lawan yang di ranking ratusan hingga ke-80, Harimau Malaya turun tanpa gentar dan memberikan aksi mengujakan sekaligus membentuk karektor permainan Harimau Malaya yang diinginkan Pan-gon iaitu menekan lawan secara agresif dan tangkas dalam melakukan serangan.

Pan-gon juga berjaya mewujudkan keyakinan pada para pemain, sesuatu yang padanya kurang pada setiap pemain sebelum ini dan kini Harimau Malaya tampil dengan semangat juang yang tinggi dan kembali menjadi fenomena penyokong.

Fenomena ini pastinya akan bertambah hebat apabila Malaysia menganjurkan kejohanan Pestabola Merdeka pada Oktober dengan India menjadi lawan pertama dan jika menang, Harimau Malaya akan bertemu sama ada Palestin atau Tajikistan di perlawanan akhir.

Tambah manis, Harimau Malaya akan kembali beraksi di gelanggang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil yang kini mempunyai lapangan bola yang baru sekaligus memungkinkan aksi yang lebih pantas ditonjolkan skuad kebangsaan.

Menjuarai Pestabola Merdeka di laman sendiri sudah pasti akan menjadi lonjakan semangat buat pemain dan penyokong menjelang Kejohanan Piala Asia AFC 2023 di Doha, Qatar dan jika perkara ini terjadi sudah pasti nama Harimau Malaya akan kembali menjadi sebutan dan kembali disanjung golongan yang tidak pernah percaya.

Teruskan momentum cemerlang ini dan kejayaan pasti akan tiba kerana hasil tidak menipu usaha. Tahniah Harimau Malaya dan selamat maju jaya. Sasaran ranking ke-120 dunia bukan lagi momokan dan angan-angan tetapi kini semakin menunjukkan sinarnya. Demi Malaysia.