TERENGGANU FC (TFC) membuktikan mereka berjaya menandatangani pemain-pemain import berkelas dunia apabila empat pemain menerima panggilan untuk menyertai pasukan kebangsaan masing-masing ketika tempoh perlawanan antarabangsa Fifa penghujung Mac ini.

Dua pemain, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev dipanggil skuad Tajikistan manakala Kyaw Min Oo menerima panggilan daripada Myanmar dan penyerang, Gervane Kastaneer yang akan menyertai skuad kebangsaan Curacao dalam rangka perlawanan persahabatan di Australia.

Sementara itu, ada beberapa pemain tempatan akan dipanggil untuk mewakili skuad Harimau Malaya dengan senarai akhir pemain dijangka akan dimuktamadkan pada minggu hadapan.

Pihak kelab menzahirkan rasa bangga apabila semakin ramai pemain TFC diberi kepercayaan untuk menyarung jersi negara masing-masing, sekali gus mengharumkan nama Terengganu FC di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai turut berbangga dengan kesemua pemain import yang baru ditandatangani ini dan berharap mereka mampu membawa pengalaman antarabangsa mereka ke peringkat liga.

“Kami berbangga kerana pemain-pemain kami diiktiraf oleh pasukan kebangsaan mereka dengan Curacao dalam fasa persediaan ke Piala Dunia.

“Kita juga masih menunggu senarai akhir yang akan dikeluarkan pasukan Malaysia tidak lama lagi dan berharap untuk melihat lebih ramai pemain tempatan mewakili negara kita dan berharap ianya akan menjadi motivasi kepada pemain TFC yang lain pada masa hadapan,” jelasnya.

Terengganu FC mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain yang terpilih dan berharap mereka dapat memberikan persembahan terbaik untuk negara masing-masing serta terus mengharumkan nama kelab di pentas antarabangsa.