KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengikat juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale 0-0 dalam perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Khamis malam .

Dengan keputusan seri ini, JDT berjaya kekal di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata manakala Kawasaki kedua dengan lima mata dari tiga perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung, JDT melakukan dua pertukaran dengan Afiq Fazail kembali bergandingan dengan Natxo Insa manakala penjaga gol, Farizal Marlias kembali semula selepas mengalami kecederaan.

Kawasaki dilihat agak buntu dalam merencanakan serangan menerusi aksi cemerlang barisan tengah dan pertahanan JDT yang mematikan semua ancaman ke kubu mereka.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 0-0 dengan Kawasaki mengawal 58.5 peratus penguasaan bola tetapi JDT berjaya melakukan lima percubaan ke gawang Kawasaki.

Dengan sorakan lebih 17,500 penyokong setia, gema sorakan di Stadium Sultan Ibrahim berjaya membantu JDT menyerap tekanan yang diberikan pihak lawan dan juga melancarkan beberapa serangan.

Nazmi Faiz dan Safawi Rasid di bawa masuk untuk menambah sengat di bahagian serangan JDT ketika pemain-pemain Kawasaki mula keletihan dan hanya mampu melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat dan JDT kini berjaya mengekalkan rekod bersih sepanjang tiga perlawanan pertama ACL dan kedua-dua pasukan bakal bertemu semula pada Ahad untuk perlawanan keempat kumpulan.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan I yang berlangsung pada sebelah petang menyaksikan Ulsan Hyundai menewaskan Guangzhou FC 3-0 untuk menghuni tangga ketiga dengan 4 mata manakala Guangzhou terakhir tanpa sebarang mata.