ISU perkauman kembali mencemari bola sepak Sepanyol apabila penyerang Real Madrid, Vinícius Jr menjadi sasaran laungan berunsur rasis di luar Stadium Carlos Belmonte menjelang aksi Copa del Rey menentang kelab divisyen dua, Albacete, awal pagi tadi.
Sekumpulan individu yang berkumpul berhampiran stadium dilaporkan melaungkan kata-kata penghinaan terhadap pemain Brazil berusia 25 tahun itu, yang sebelum ini berulang kali menjadi mangsa perkauman sepanjang kariernya di Sepanyol.
Kelab Albacete pantas mengecam insiden tersebut dan menegaskan tindakan itu tidak mewakili identiti bandar atau kelab berkenaan.
“Cukup dengan perkauman ini, ia benar-benar memalukan. Ini bukan imej yang mewakili rakyat Albacete atau kelab,” menurut kenyataan Albacete di media sosial.
Vinícius tetap disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh Álvaro Arbeloa untuk perlawanan pusingan 16 itu, yang juga menandakan penampilan pertamanya di bawah kendalian pengurus baharu Real Madrid berkenaan selepas pemergian Xabi Alonso.
Insiden terbaharu ini menambah deretan kes perkauman membabitkan Vinícius, dengan rekod menunjukkan sebanyak 18 aduan undang-undang telah dibuat sejak 2022. Pada Mei 2025, lima individu dijatuhi hukuman penjara dalam keputusan bersejarah apabila mahkamah Sepanyol mengklasifikasikan penghinaan rasis di stadium sebagai jenayah kebencian, susulan kes melibatkan Vinícius ketika menentang Real Valladolid pada 2022.
Setakat ini, Real Madrid belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden di Albacete, sementara Vinícius sebelum ini pernah meluahkan kekecewaan terhadap tindakan badan pengurusan bola sepak yang disifatkannya masih tidak memadai dalam menangani isu perkauman.