PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora yakin bahawa skuad kendaliannya sudah bersedia untuk memberikan cabaran sekali lagi kepada juara Liga J, Kawasaki Frontale pada Ahad.
JDT dan Kawasaki akan turun dalam perlawanan keempat Liga Juara-Juara AFC (ACL) dalam tempoh 9 hari dan pastinya kecergasan pemain menjadi kebimbangan buat kedua-dua pasukan.
“Kami ingin terus mencipta sejarah. Kami mempunyai mentaliti untuk melawan. Kawasaki adalah kelab ranking nombor satu Asia manakala kami di nombor 215. Apa yang kami lakukan sangat hebat. Para pemain percaya pada diri sendiri dan kami sukar untuk dihentikan sekarang,” kata Mora ketika sidang media pra perlawanan.
Jelas Mora, jadual perlawanan yang padat menyaksikan tempoh pemulihan pemain menjadi singkat tetapi JDT bersedia melakukan yang terbaik kerana dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Perlawanan keempat biasanya akan menjadi perlawanan paling sukar kerana tahap kecergasan semakin menurun. Tetapi para pemain sudah bersedia dan inilah keindahan bola sepak kerana segalanya boleh terjadi. Perkara-perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.
“Ada beberapa pemain yang badan dan kaki mereka sudah keletihan, tetapi minda dan semangat mereka lebih besar dari stadium ini. Kami akan cuba mengawal tempo permainan dan tidak mengejar tanpa sebab dan memastikan kami tidak memberikan bola terlalu mudah buat pasukan lawan,” tambahnya.
Mora juga menjangkakan pihak lawan akan bermain lebih agresif dan akan cuba melakukan beberapa percubaan tepat selepas mereka gagal melakukannya pada perlawanan pertama, rekod terburuk mereka sejak 2017.
“Ini adalah statistik. Tiada percubaan tepat sejak 2017. Ianya sangat hebat kerana kami berjaya mengawal mereka. Penyerang Brazil mereka cukup hebat. Kami akan kecilkan ruang di pertahanan dan jika mereka berjaya melakukan percubaan tepat, kapten kami (Farizal) bersedia untuk menafikannya.”
Mora juga mahukan semua pemain menikmati saat ini. JDT akan sentiasa merendah diri dan cuba untuk mendaki sedikit demi sedikit dalam pertandingan ini dengan memastikan kami melakukan yang terbaik pada setiap perlawanan.
JDT bakal bertemu Kawasaki Frontale sekali lagi dengan kemenangan ketiga pastinya akan memberikan JDT laluan yang lebih mudah ke peringkat seterusnya.