PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, mengakui pasukannya cukup bertuah pintu gawang tidak bolos ketika berdepan Atletico Madrid di Stadium Wanda Metropolitano, awal Khamis pagi.
Saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara berlangsung tegang termasuk pertahanan tengah Atletico, Felipe dibuang padang pada penghujung saingan kerana mengasari Phil Foden.

Pep Guardiola. Foto: Manchester City
Perlawanan tidak mudah buat City apabila statistik Opta menunjukkan Atletico mencatat 14 sepakan sepanjang 90 minit dengan tiga tepat ke penjaga gawang berbanding pelawat merekod 10 percubaan.
“Mereka adalah juara Sepanyol dan bermain dengan penuh kekuatan terutama pada babak kedua. Kami bersyukur tidak bolos. Secara keseluruhan kami layak berada di separuh akhir dan persembahan dari pemain cukup memuaskan,” ujar Guardiola dipetik dari BBC.
Skuad kendalian Guardiola kini menempah pertemuan besar di separuh akhir Liga Juara-Juara menentang juara 13 kali, Real Madrid.