PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak gembira dengan keputusan perlawanan selepas Harimau Selatan tewas 1-0 kepada Shandong Taishan dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Olimpik Jinan, China.
Bagaimanapun jurulatih kelahiran Argentina itu berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemain yang mengawal keseluruhan permainan namun gagal menjaringkan gol yang menyebabkan mereka tewas buat kali kedua dalam saingan elit Asia ini.
Baginya ini adalah sebahagian daripada asam garam dalam bola sepak tetapi dia gembira dengan cara JDT mengawal permainan dan menunjukkan karektor yang cukup baik sepanjang permainan berlangsung meskipun berhadapan cabaran cuaca dingin.
“Secara peribadi, JDT bermain baik tetapi kami tidak berjaya menjaringkan gol meskipun mencipta banyak peluang tetapi inilah bola sepak. Kami berjaya menguasai bahagian serangan dan tunjukkan corak permainan kami di sepanjang perlawanan.
“Kami berjaya mengawal bola dan menggerakkan bola dari satu sisi ke satu sisi yang lain. saya tidak gembira dengan keputusan tetapi puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, JDT mempunyai lapan percubaan tepat menerusi Jorge Obregon, Arif Aiman, Bergson Da Silva dan Oscar Arribas namun kesemuanya tidak menemui jaring selain dihampakan kecekapan penjaga gol lawan.
Shandong Taishan hanya mempunyai satu peluang dan berjaya menjaringkan gol menerusi Zeca yang cukup untuk memberikan pasukan tuan rumah tiga mata yang membuatkan Harimau Selatan pulang hampa ke Iskandar Puteri.
Selepas selesai lima perlawanan peringkat liga Zon Timur, JDT kini ditangga kelima dari 12 pasukan dengan tujuh mata dan masih berpeluang layak ke peringkat seterusnya dengan Buriram United bakal menjadi lawan seterusnya di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Disember 2024.