SKUAD Malayan Tigress menerima kekalahan kepada Indonesia pada perlawanan pembukaan Piala AFF Wanita 2024 namun kekal optimis mereka masih mampu bangkit untuk mencipta kemenangan pada perlawanan kedua.
Pengendali pasukan, Soleen Al-Zoubi menjelaskan dia dan barisan kejurulatihan akan mengkaji semula apa yang perlu diperbaiki untuk perlawanan kedua namun dia bangga dengan apa yang telah ditunjukkan oleh barisan pemainnya.
“Kami perlu menerima kekalahan ini dan kami masih dalam pertandingan ini kerana ianya baharu perlawanan pertama. Kami akan melihat semula aksi ini dan mengkaji segala kelemahan sama ada dari sudut taktikal atau teknikal.
“Pemain telah berikan segala-galanya dan kami akan perbaiki segala kesilapan kerana peluang masih ada. Saya kenal pasukan saya tetapi kami masih tidak mampu menghapuskan badi perlawanan pertama tetapi ini akan dijadikan motivasi untuk kami bangkit lebih kuat dan layak ke separuh akhir,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Soleen juga tidak mahu memberikan sebarang komen tentang prestasi pengadil yang jelas melakukan beberapa keputusan meragukan dan dia mahu pemain terus bangkit lebih kuat untuk perlawanan seterusnya.
“Saya tidak mahu komen mengenai pengadil kerana semua orang boleh nampak dalam perlawanan ini tetapi kita tidak boleh jadikannya sebagai alasan dan akan kembali lebih baik sebagai satu pasukan,” jelasnya.
Dalam sidang media yang sama, pemain pertahanan, Siti Nurfaizah Saidin mengakui mereka jelas kecewa dengan keputusan perlawanan namun berjanji akan bangkit pada perlawanan kedua bagi memastikan Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir.
“Sejujurnya kecewa dengan keputusan ini tetapi saya gembira dengan prestasi kami kerana semua pemain sudah berikan yang terbaik dan akan pastikan kami bangkit lebih kuat selepas ini.
“Kami akan lakukan apa yang dimahukan oleh jurulatih meskipun kadang kala ianya sukar bagi memastikan corak permainan kami berubah dan lebih baik dari perlawanan ini,” jelasnya.
Ekoran kekalahan ini, Malaysia kini tidak mempunyai pilihan lain kecuali mencatatkan kemenangan keatas Kemboja dalam aksi kedua pada Jumaat jika ingin layak ke separuh akhir.