MAJLIS Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) meterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi mewujudkan rangka kerjasama dalam mempromosi dan pembangunan sukan para dan penglibatan belia kurang upaya di Malaysia.
Ikatan MoU ini menyaksikan satu lagi langkah yang dianggap eksklusif bagi MPM yang terus diberi kepercayaan dalam melaksanakan pembangunan sukan para di Malaysia bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi.
Malah kerjasama ini turut merangkumi beberapa objektif iaitu meningkatkan kesedaran tentang gerakan Paralimpik dan pencapaian atlet kurang upaya, sambil mendidik belia tentang sukan para dan kepentingannya, menggalakkan penyertaan belia dalam sukan para dengan menganjurkan acara bersama.
Selain itu, MoU ini juga meliputi program dan aktiviti yang boleh diakses dan inklusif, mengenal pasti dan memupuk atlet muda kurang upaya dan menyokong latihan dan penyertaan mereka dalam pertandingan para bagi sukan tempatan dan antarabangsa.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin memberitahu, MoU ini merupakan jalinan kerjasama yang amat bermakna bagi komuniti atlet para di semua peringkat.
“Ia juga menyaksikan Majlis Belia Wilayah Persekutuan tidak mengetepikan pembangunan sukan para dan mengambil langkah tepat dalam membangunkan bersama sukan para ini.”
Dalam pada itu, turut menyaksikan Megat D. Shahriman menerima Anugerah Pingat Jasa Belia (P.J.B) daripada MBWP sebagai khidmat bakti dan jasa terpuji terhadap kemajuan pergerakan belia di Wilayah Persekutuan dalam majlis Malam Apresiasi Penggiat Belia Wilayah Persekutuan.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, yang turut disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan Dr. Zaliha Mustaffa.