Kerajaan Itali menolak cadangan supaya negara itu menggantikan Iran di Piala Dunia FIFA 2026, dengan menyifatkannya sebagai tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip sukan.

Cadangan tersebut timbul selepas seorang diplomat Amerika Syarikat, Paolo Zampolli dilaporkan mengemukakan idea berkenaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Isu penyertaan Iran menjadi perhatian susulan ketegangan geopolitik melibatkan negara itu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan perubahan dalam senarai pasukan bertanding.

Bagaimanapun, Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi menegaskan bahawa Itali tidak seharusnya kembali ke kejohanan tersebut tanpa melalui proses kelayakan.

Menurut beliau, sebarang penyertaan ke Piala Dunia perlu ditentukan berdasarkan merit di atas padang, bukan melalui jalan lain.

Pandangan itu turut disokong Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Itali, Luciano Buonfiglio yang menegaskan bahawa kelayakan harus diperoleh secara sah melalui pertandingan.

Menteri Ekonomi Itali, Giancarlo Giorgetti pula menyifatkan cadangan tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.

Untuk rekod, Itali yang merupakan juara dunia empat kali gagal melayakkan diri ke edisi 2026 dan tidak beraksi di pentas Piala Dunia sejak 2014.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, dengan Iran berada dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir dan New Zealand.

Sumber Gambar: FB Italy FA